Pages

Friday, August 19, 2011

HIDAYAH ALLAH DI MANA-MANA

Berkenalan dengan al-Quran

“Ayat apa yang kau baca tadi Fatahi?” Tanya Syuwaibah tiba-tiba. Fatahi memberhentikan bacaannya, dia mengangkat muka, “Owh, ini al-Quran”. Fatahi tersenyum.

“Sungguh indah ayat-ayat tersebut, susunannya berbeza sekali dari syair-syair arab yang pernah saya hafal.” Syuwaibah pelajar tahun pertama yang berasal dari al-Bania berteleku di depan Fatahi. Hatinya cukup tersentuh mendengar lantunan ayat-ayat suci dari surah Tahrim yang dibaca oleh Fatahi.

“Apakah ini?” Tunjuk Syuwaibah ke arah senaskah al-Quran di tangan Fatahi.

“Sungguh kau tidak menganali kitab ini?” Fatahi terkejut. Tidak disangka pada zaman yang sungguh moden ini masih ada lagi manusia yang tidak mengenali kitab suci yang dipegangnya ini.
“Ini al-Quran, kitab suci umat Islam.” Syuwaibah terkejut, dia menjauhkan diri dari Fatahi.


“Mengapa?” Soal Fatahi.

“Baru saya tahu yang anda baca tadi ialah kitab teroris. Saya kenal sangat dengan nama itu –al-Quran. Ya, al-Quran, kitab yang menjadikan ramai manusia sebagai pengganas!” Suara keras Syuwaibah memenuhi ruang bilik. Dia bingkas bangun dan mahu keluar dari bilik Fatahi. Cepat-cepat Fatahi menahannya.

“Mengapa? Adakah kau hanya sekadar mendengar atau membaca di dada-dada khabar tentang al-Quran tanpa mengetahui isi kandungannya? Bukankah kau sendiri sering melaung-laungkan agar setiap perkara harus diteliti terlebih dahulu sebelum menghukuminya?” Provok Fatahi pada Syuwaibah yang mengambil jurusan sama dengannya iaitu perundangan.

Syuwaibah menghentikan langkahnya. Cepat-cepat Fatahi menyambung bacaannya yang terhenti di surah Tahrim ayat 12.

“dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.”



Seperti terkena panahan petir, ayat yang dibaca Fatahi membuatkan Syuwaibah terduduk. Fatahi sengaja menghabiskan ayat terakhri dari surah at-Tahrim itu kuat-kuat. Dia tahu yang Syuwaibah sangat fasih dan memahami bahasa Arab, dalam masa yang sama Syuwaibah sangat mencintai Marry sebagai ibu kepada ‘Tuhannya’.

“Adakah ayat yang kau baca tadi di dalam kitab tersebut?” Soal Syuwaibah lembut, dia memandang tepat ke mata Fatahi seakan-akan memujuk.

“Ya, memang benar. Malahan masih banyak lagi ayat-ayat yang member khabar tentang Mariam dan Jesus.”

“Tetapi mengapa selama ini saya mendapat maklumat yang berbeza tentang kitab tersebut. Boleh saya memegangnya.” Pinta Syuwaibah. Suaranya yang tadi keras sudah dilunakkan. Fatahi tidak teragak-agak menghulurkan senaskah al-Quran kepadanya.

“Fatahi…” Suara lemah Syuwaibah memanggil Fatahi.

“Aku sering diberitahu bahawa kitab ini menyeru kepada kegananas. Aku juga sering disogokkan bahawa kitab ini penuh dengan percanggahan dan penipuan. Tidak pernah aku diberitahu atau mendengar betapa mulia dan indahnya ayat-ayat yang ada dalam kitab ini.” Titik air suci perlahan-lahan jatuh dari matanya. Air matanya tidak tertahan-tahan lagi, akhirnya terlepas juga bagaikan empangan yang pecah.

Fatahi bingkas bangun, kemudian duduk bersebelahan dengannya.

“Aku tidak tahu sama ada kau sudah beriman ataupun tidak. Tetapi di dalam surah al-Anfal ayat kedua Allah menjelaskan bahawa, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal”.

Semakin kuat esakkan Syuwaibah, bagaikan seorang anak kecil yang bertemu dengan ibunya selepas sudah lama berpisah.

“Masih ada ruangkah untuk Allah menerimaku?” Soal Syuwaibah. Air matanya masih mengalir.

“Bukan sahaja masih ada ruang, tetapi Allah sendiri sentiasa menyuruh umat Islam agar mengajak orang lain kepada akidah Tauhid.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat ke-64, “Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).”



Pengislamannya seperti Saidina Umar al-Khatab

“Adakah kau benar-benar mahu memeluk Islam?” Soal Fatahi mencari kepastian.

“Benar.”

“Tidak ada sesiapa yang memaksa?” Soal Fatahi lagi.

“Tidak, dan ini adalah kerelaan dari aku sendiri.” Jawab Syuwaibah tegas.

“Kalau begitu, ikutlah seperti apa yang aku baca kemudian kau akan secara rasmi telah menjadi Muslim.”

“Baiklah.”

“La-ilaha-illa Allah, wa Muhammadu-rasulu-Allah (Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah).”

“La-ilaha-illa Allah, wa Muhammadu-rasulu-Allah.” Syuwaibah perlahan-lahan mengikut bacaan Fatahi. Air matanya terus-menerus mengalir di pipi. Terasa dunia ini terlalu sejuk dan nyaman. Hatinya sangat tenang, dan dia tidak dapat mengambarkan betapa dirinya kini sangat bahagia.

“Alhamdulilah.” Fatahi memeluk Syuwaibah, terasa hangat. Kehangatan sebagai saudara se-islam terasa. Tiada seindah bahasa, dan tiada patah perkataan yang dapat digambarkan betapa gembiranya hati.

“Aku tidak menyangka kedatanganku yang tidak lebih dari 3 jam ini telah membawa perubahan yang besar.” Ujar Syuwaibah.

“Pengislaman kau persis seperti Sahabat besar Nabi Muhammad shallahu-alaihi-wasalam.” Tutur Fatahi gembira.

“Siapakah sahabat tersebut?” Tanya Syuwaibah tidak sabar.

“Saidina Umar al-Khatab al-Faruq.”

No comments:

Post a Comment